• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Gejala Rasuah Penjawat Awam Semakin Serius


KUALA TERENGGANU, 6 Ogos -  Kes rasuah di kalangan penjawat awam semakin membimbangkan apabila sejumlah 46.3 peratus daripada keseluruhan 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah sejak 2014 hingga Jun tahun ini membabitkan penjawat awam dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, antara sektor utama yang terlibat dalam gejala rasuah ialah sektor perolehan.

“Jika kita lihat dalam satu kajian yang dijalankan oleh pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi, sebanyak 22.1 peratus daripada penjawat awam yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah jika mereka berkuasa dalam kerajaan.

“Jika di kalangan penjawat awam yang masih bekerja boleh berkata macam itu, bahaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Pengerusi Strategic & Integrity Institude (TSIS), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.


Sementara itu, mengulas tentang gejala rasuah di Terengganu, Shamshun Baharin berkata, ia tidak membimbangkan seperti yang berlaku di negeri-negeri lain.

"Di Terengganu, seramai 99 individu ditahan kerana terbabit rasuah sejak 2017 hingga Jun tahun ini, dengan 53 orang daripadanya adalah penjawat awam dan daripada jumlah itu, 10 individu adalah penjawat awam negeri, manakala 43 lagi adalah penjawat awam Persekutuan," katanya.

Tambahnya, inisiatif kerajaan negeri melancarkan DIDI adalah sebagai satu usaha memerangi rasuah di kalangan penjawat awam di Terengganu menerusi Model Integriti Darul Iman (MIDI) dan Modul Integriti Darul Iman (MINDA-i) yang diharap mampu memperjelas dan melengkapkan maklumat berhubung pencegahan rasuah dan integriti di kalangan penjawat awam.




Tag: