• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gelombang Ketiga Banjir Saksikan Penduduk Patuh Arahan Pindah Lebih Awal

HULU TERENGGANU , 25 Disember - Gelombang ketiga banjir yang melanda Terengganu sejak petang Sabtu lalu menyaksikan rata-rata mangsa yang terjejas telah membuat persediaan awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tanpa menunggu arahan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, beliau memuji tahap kepatuhan penduduk di kawasan terjejas banjir yang segera berpindah ke PPS yang yang diaktifkan di enam daerah di negeri itu setelah kawasan mereka berisiko dinaiki air.

"Pada gelombang kali ini jika  ikutkan peratusan jumlah kes menyelamat mangsa banjir oleh pihak bomba tidak begitu ramai sebenarnya kerana
kesedaran yang sudahvmenebal dalam kalangan masyarakat.

"Kesedaran pada tahun ini semakin ketara dan ia sangat-sangat membantu melancarkan pemindahan menyelamat dan operasi serta
mangsa banjir...kita harap sikap positif yang begini terus dikekalkan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang selepas membuat pemantauan di beberapa lokasi yang terjejas banjir di sini, hari ini.

Menurut Hassan, gelombang ketiga kali ini agak berbeza jika dibandingkan dengan gelombang pertama dan kedua. 

"Gelombang banjir kali ini menyaksikan daerah Dungun dan Hulu Terengganu antara yang terjejas dengan mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi. 

"Kalau kita lihat kawasan yang terlibat dengan banjir melibatkan kawasan bahagian hulu iaitu di kawasan hulu Dungun dan hulu Kuala Berang dengan taburan hujan yang tinggi,"katanya.

Tambahnya, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menunjukkan gelombang ketiga banjir di Terengganu bermula pada 23 hingga 25 Disember. 

"Jika berdasarkan apa yang dijangka, sepatutnya sudah nampak perubahan  cuaca di mana bahagian pinggir pantai sudah nampak agak cerah dan taburan hujan juga berkurangan. 

"Bagaimanapun, berbeza dengan dua kawasan ini. Walaupun ramalan menunjukkan hujan berlaku renyai-renyai sahaja, kita dapati hujan masih lagi lebat di beberapa kawasan menyebabkan jumlah mangsa yang berpindah ke PPS bertambah daripada semasa ke semasa," ujarnya. 

Menurut data oleh sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga jam 6 petang, banjir gelombang ketiga di Terengganu merekodkan daerah Dungun yang paling terjejas iaitu sebanyak 1,236 orang 

Selain Dungun, lima lagi daerah terkesan ialah Hulu Terengganu sebanyak 803 orang, Besut (607 orang), Kemaman (361 orang), Setiu (306 orang),  dan Marang (12 orang), menjadikan keseluruhan sebanyak 3,325 mangsa yang masih berteduh di 58 buah PPS.


Tag: