• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Gerai Makan Pasar Besar Chukai Dinaik Taraf

KEMAMAN, 12 Julai - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) akan menaik taraf 10 unit gerai makan yang berada di belakang Pasar Besar Chukai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan bermula selepas Hari Raya Aidiladha nanti dan ia dijangka mengambil masa lebih kurang dua bulan.

"Alhamdulillah, kami telah bertemu dengan peniaga-peniaga yang terlibat ini dan berbincang serta dapat mengambil keputusan sepakat secara harmoni.

"Kerja-kerja menaik taraf ini akan berjalan secara berperingkat. Sepanjang tempoh kerja-kerja ini berlangsung, peniaga-peniaga akan disediakan tapak lain yang berhampiran beserta dengan kanopi.

"Oleh yang demikian, peniaga-peniaga ini masih dapat mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan makanan mereka itu," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Hanafiah turut mengharapkan kerja-kerja menaik taraf berkenaan akan dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada pihak-pihak yang terlibat.

"Insya-Allah, selepas siap sepenuhnya kerja-kerja ini dan peniaga dapat kembali berniaga, kita mengharapkan ia akan memberikan lebih keselesaan dan menjamin keselamatan yang lebih baik sama ada untuk peniaga dan orang ramai yang berada di sana," ujarnya lagi.