• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Gerai Tepi Jalan Di Kuala Terengganu Dilarang Beroperasi

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Semua gerai dan aktiviti penjaja di tepi jalan termasuk penjaja beredar di 21 mukim dalam daerah ini dilarang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa 30 Mei.

21 mukim terlibat adalah Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Burok, Pekan Chabang Tiga, pulau-pulau dan Gelugor Raja.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, larangan turut melibatkan kenderaan bersaji (food truck), medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk kecuali gerai bahan mentah makanan dan hasil tani.

"Walau bagaimanapun restoran, kedai, gerai makan dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam dengan pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu (drive-thru) atau penghantaran (delivery) sahaja.

"Begitu juga dengan kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian juga dibenarkan dengan tempoh operasi yang sama," ujarnya ketika bersiaran di Terengganu Fm, hari ini.

Katanya, sepanjang berada dalam tempoh PKPD, kesemua mukim ini juga tidak dibenarkan menjalankan operasi pasar harian, pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam.

"Sementara, pasar awam dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 1 pagi hingga 9 pagi sahaja," ujarnya.


Tag: