• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Giliran Terengganu FC Belasah Melaka United

KUALA NERUS, 3 September- Melaka United FC pulang hampa apabila sekali lagi dibelasah, kali ini tumpas 5-0 di tangan Terengganu Football Club (Terengganu FC) pada aksi Liga Super Malaysia 2022 di Gong Badak, sebentar tadi.

Manakala, skuad kendalian Nafuzi Zain terus konsisten mengutip tiga mata dengan penyerang kelahiran Ivory Coast, Tcheche Kipre mencatat jaringan hatrik pertamanya musim ini.

Beraksi di halaman sendiri, tumpuan terarah kepada penyerang tuan rumah, Kpah Sherman dan Kipre yang kembali digandingkan dalam kesebelasan utama.

Terengganu FC bermula cemerlang dengan menguasai perlawanan seawal minit pertama.

Rangkaian jentera serangan Sang Penyu diketuai Kpah, Faisal Halim dan Kipre membuatkan anak-anak buah Asri Ninggal terpaksa 'berkubu' di kawasan sendiri.

Pada minit ke -16, Kpah berjaya meletakkan Terengganu FC di depan apabila menanduk kemas hantaran lintang Faisal.

Kedudukan kekal 1-0 pada separuh masa pertama selepas tuan rumah gagal menterjemahkan beberapa peluang 'besar' untuk menambah jaringan.

Memasuki babak kedua perlawanan, pelawat cuba merapatkan kedudukan dengan merencana beberapa percubaan, namun tidak berhasil.

Pada minit ke -47, perlawanan dihentikan seketika apabila penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim terpaksa dikejarkan ke hospital selepas bertembang dengan pemain gantian pelawat yang baru masuk, Harith Naim Jaineh.

Suhaimi Husin masuk menggantikan Rahadiazli yang cedera sebelum perlawanan diteruskan kembali.

Pada minit ke-62, Nik Sharif Haseefy yang masuk menggantikan Mohd Faiz Nasir seminit sebelum itu muncul hero dengan mencetak nama sebagai penjaring gol kedua pasukan selepas menolak masuk bola rembatan Kpah yang ditampan penjaga gol lawan, Tian Keat See.

Sekalipun memiliki kelebihan dua gol, pemain-pemain Terengganu FC terus menggasak kubu Melaka United.

Pada minit ke -67, Kipre yang menerima bola dari Faisal tidak mensia-siakan peluang dan rembatannya mudah menewaskan Tian Keat.

Terengganu FC meneruskan 'malam pesta' mereka dan pada minit ke -75, Kipre menambah jaringan peribadinya selepas menolak masuk hantaran lintang Faisal untuk gol keempat tuan rumah.

Sang Penyu semakin garang membuatkan Sang Kancil tersipu-sipu.

Enam minit berselang, Faisal sekali lagi melakukan 'assist' dengan Kipre menyempurnakan hatrik bagi gol kelima perlawanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu FC kekal di kedudukan keempat liga, mengekori Negeri Sembilan FC di tangga ketiga dengan hanya perbezaan tiga mata.

 

 

 


Tag: