• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

GLC Terengganu 'Sakit Kronik' Di Era Ahmad Said

KUALA TERENGGANU, 18 November – Anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad berdepan banyak masalah urus tadbir ketika di bawah pentadbiran Calon Barisan Nasional (BN) Kemaman, Dato’ Seri Ahmad Said.

Calon PN-PAS Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Amzad Hashim berkata, ketika di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said melalui Terengganu Incorporated telah menganugerahkan kontrak bernilai RM112 juta kepada Kondisi Utama.

Katanya, ia sebuah syarikat berpengkalan luar daripada Terengganu yang mempunyai modal berbayar RM2 dan mempunyai dua orang Lembaga Pengarah, Gurjeet Singh dan Amarjeet Singh.

“Kontrak ini telah dilaksanakan dalam bentuk surat yang dikeluarkan oleh anak syarikat kepada Terengganu Incorporated iaitu Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan ditandatangani oleh CEO EPIC, Ramli Sahul Hamid ketika itu.

“Kondisi Utama gagal melaksanakan dan berakhir dengan EPIC terpaksa berdepan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan yang memutuskan EPIC dikenakan membayar kepada Baltic Agency, RM55 juta ditambah lagi hampir RM30 juta jumlah faedah kepada syarikat Baltic Agency yang berpangkalan di Singapura,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan I-Mahasiswa bertempat di Dewan Kondo Rakyat Kuala Ibai semalam.

Tambah Amzad, puncanya kerana orang kepercayaan Ahmad Said iaitu Ramli Shahul Hameed yang merupakan CEO EPIC ketika itu secara misteri menandatangani ‘blank letter’ dengan melantik Baltic Agency sebagai kontraktor pelaksana. 

Kes ini diputuskan di Mahkamah Persekutuan sebelum PAS menang PRU14 serta mengambil alih kerajaan Terengganu dan kes ini tidak lagi boleh dirayu setelah melalui proses di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata di bawah pentadbiran PAS, rundingan dengan Baltic Agency dibuat sehingga wujud penyelesaian sepenuhnya pada 2021 dengan mengurangkan jumlah bayaran daripada RM83 juta yang diputuskan Mahkamah Persekutuan kepada RM42 juta yang diselesaikan secara ansuran.

“Hari ini EPIC kembali kuat dengan kecairan tunai sekitar RM100 juta serta Mantan CEO EPIC, Ramli Sahul Hamid telah secara salah mengambil duit EPIC sebanyak RM1.7 juta untuk diri sendiri tanpa prosedur yg betul.

“Kes ini dibicarakan di Mahkamah dan berakhir dengan Ramli Shahul Hameed diarahkan memulangkan jumlah RM1.7 juta ini kepada EPIC,” katanya.

Mengulas lanjut, sebagai Pengerusi BNTerengganu, Ahmad Said juga telah menamakan Ramli Shahul sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman menggantikan Ahli Parlimen Kemaman ketika itu, Che Alias Hamid.

“Sedangkan Ramli Shahul ada dua kes yang telah melalui proses perbicaraan di mahkamah melibatkan EPIC,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: