• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

GM PB Hotel Lapor Polis Fitnah PAN

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Pengurus Besar Paya Bunga (PB) Hotel, Abdul Hadi Alias, yang difitnah menyalah guna kuasa di hotel berkenaan oleh Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu menafikan dakwaan tersebut hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti butiran tertentu termasuk berbincang dengan peguam serta melaporkan kepada pihak polis sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Saya datang ke balai polis Kuala Terengganu ini untuk membuat ‘report’ tentang satu fitnah yang telah dibuat ke atas saya oleh Pemuda PAN Terengganu. Dalam laporan saya, saya menafikan kesemua kenyataan media mereka itu.

“Saya minta perkara ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan oleh pihak polis,” tegasnya mengulas  mengenai satu ‘posting’ di halaman Facebook Pemuda PAN Terengganu yang diterbitkan pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, dakwaan beliau mengarahkan pembelian sebuah kereta Honda CRV nombor pendaftaran TCG 6040 berwarna hitam untuk kegunaan peribadi adalah tidak benar sama sekali.

“Saya tidak pernah mengarahkan sebarang pembelian kereta. Sebaliknya kereta tersebut serta van operasi (Starex) yang telah pun dibeli sebelum ini adalah dengan kelulusan oleh Lembaga Pengarah PB Hotel sejak 2019 sebagai kemudahan untuk saya serta kakitangan hotel.

“Berikutnya, bilik yang dinyatakan itu telah disewakan kepada Ifio Sdn Bhd yang merupakan syarikat pemaju perisian computer untuk kegunaan mereka. Kesemua urusan sewaan bilik dengan mana-mana syarikat adalah berekod dan mengikut perjanjian,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar Abdul Hadi, beliau menafikan dakwaan kebajikan kakitangannya tidak dijaga, malah pembelian uniform syarikat turut dibuat secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Saya sendiri tidak pernah membuat sebarang tuntutan perjalanan dengan syarikat. Pemberian hak penggunaan bilik rasmi hotel untuk kegunaan peribadi anak secara tetap juga tidak pernah berlaku.

“Justeru saya membuat ‘report’ ini agar pengendali halaman Facebook Pemuda PAN Terengganu disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan kata-kata berbentuk fitnah terhadap saya,” katanya.


Tag: