• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Golden Pharos Rangka Strategi Tangani Impak COVID-19

KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Anak syarikat Kerajaan Terengganu, Golden Pharos Bhd (GBP) merangka tiga strategi utama bagi menangani impak COVID-19 terhadap perniagaan syarikat terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Dato’ Nadza Abdul berkata, langkah pertama adalah dengan memaksimakan penggunaan Program Subsidi Upah (PSU) Perkeso yang berjumlah RM1.6 juta kepada 446 pekerja bagi tempoh enam bulan membabitkan lima anak syarikat. 

Katanya, selain itu tindakan membekukan sementara segala program bukan kritikal, antaranya Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pembayaran zakat dan segala aktiviti korporat, termasuk hari keluarga dan jamuan keraian kakitangan turut dilaksanakan.

Pada masa sama, semua kakitangan tidak dibenarkan melakukan kerja lebih masa, tiada elaun bertugas luar kawasan dan pelbagai elaun berkaitan kini dibekukan.

“Langkah ketiga, mengenal pasti beberapa perniagaan baharu dengan mengguna pakai sumber sedia ada di kawasan hutan termasuk menjana tenaga elektrik melalui projek pembinaan mini hidro.

“’Projek itu kini dalam kajian kemampuan gunaan tenaga yang mampu dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan GPB Kali Ke-33 di Primula Beach Hotel di sini hari ini.

Hadir mempengerusikan mesyuarat itu, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri. 

Dato’ Nadza turut memberitahu, GPB mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 18 peratus iaitu RM57.47 juta pada 2019 berbanding RM70.4 juta pada tahun sebelumnya.

Manakala kerugian yang dicatatkan pada 2019 sebelum cukai adalah sebanyak RM 9.98 juta berbanding RM2.3 juta rugi (2018).

“Keadaan itu disebabkan tiga faktor utama iaitu pasaran yang lemah dalam industri kaca, kelewatan dalam aktiviti pembalakan dan penggunaan standard perakaunan yang baharu di bawah Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).

“Faktor-faktor inilah yang menjadikan prestasi syarikat pada tahun 2019 tidak begitu memberangsangkan,” tambahnya lagi.


Tag: