• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Golden Pharos Terengganu Kaji Pertingkat Hasil Karas

Dato' Tengku Hassan (dua dari kanan) menandatangani MoU dengan seorang pelabur di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Golden Pharos Berhad (GPB) sedang mengkaji untuk menggunakan kaedah teknologi baharu bagi memastikan industri gaharu menuai hasil lebih cepat berbanding sebelum ini.

GPB sebuah anak syarikat kerajaan negeri menanam kira-kira 1,000 pokok gaharu (karas) beberapa tahun lalu sebagai percubaan untuk melihat potensi industri gaharu (bahan untuk membuat minyak wangi) yang mampu menghasilkan pendapatan lumayan kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kaedah teknologi sebelum ini (secara konvensional) dengan menyuntik batang pokok gaharu supaya sakit tetapi dengan teknologi baharu walaupun ditebang, pokok berkenaan dapat mengeluarkan tunas baru seperti pokok pisang.

"Sekarang ini ada teknologi baharu, selepas dipotong dia akan tumbuh seperti pokok pisang, pokok itu tidak mati (hidup) berterusan. Itu satu perkara baharu kita dengar.

"Mengikut teknologi lama selepas dua tahun pokok berkenaan baru boleh ditebang namun teknologi baharu dikatakan hanya lapan bulan sahaja gaharu boleh dihasilkan dan dituai," jelasnya.
Antara pelabur antarabangsa dan tempatan yang hadir mengadakan MoU dengan kerajaan negeri baru-baru ini. 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara beberapa pelabur antarabangsa dengan kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi GPB berkata, kerajaan negeri melalui GPB akan mengambil tindakan lanjut berhubung teknologi berkenaan untuk kemungkinan manfaat teknologi tersebut di masa akan datang.

GPB katanya, sudah melakukan percubaan menanam gaharu di ladang hutan dengan menebang pokok hutan dan menanam pokok gaharu.

Untuk rekod, pokok karas adalah sejenis pokok dari spesies Aquilaria yang banyak terdapat dalam Hutan Hujan Tropika di Asia Tenggara.

Pokok karas mendapat perhatian kerana penghasilan resin daripada kayu gaharu yang mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Resin yang terdapat pada kayu gaharu digunakan dalam industri wangi-wangian (haruman dan setanggi) kerana berbau harum, campuran ubat dan kosmetik serta bagi tujuan keagamaan dan kebudayaan.

Secara umumnya, pokok karas yang sihat tidak menghasilkan gaharu, hanya yang berpenyakit yang dijangkiti kulat atau bermasalah akan menghasilkan resin yang amat bernilai itu. Resin itu sebenarnya terhasil apabila pokok tersebut melawan penyakit.

Di Malaysia, selain pokok karas liar yang tumbuh di hutan, kayu gaharu juga dihasilkan dari ladang pekebun serta syarikat persendirian secara kecil-kecilan.

Biasanya pokok karas dari tanaman ladang akan disuntik atau istilah yang digunakan ialah inokulasi iaitu memasukkan sejenis cecair yang mengandungi kulat atau fungus ke dalam pokok secara suntikan apabila umur pokok mencapai antara tiga hingga lima tahun.

Pokok karas liar menghasilkan resin secara semula jadi yang mengambil masa bertahun-tahun dan biasanya pokok karas ini akan ditakik, ditebuk atau ditebang sewenang-wenangnya untuk mendapatkan kayu gaharu.



Tag: