• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Golden Pharos Terengganu Menang Anugerah CSR Terbaik Malaysia

KUALA TERENGGANU, 26 November - Golden Pharos Bhd (GPB), syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, mengungguli anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Laporan Kelestarian Terbaik anjuran CSR Malaysia.

GPB yang memenangi anugerah tersebut bagi kategori pembalakan dan kilang papan berdiri setanding dengan syarikat terkemuka negara seperti Tenaga Nasional Bhd, Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dan Bank Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu lagi kejayaan buat Kumpulan GPB apabila berjaya terpilih dan bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi yang lain.

“Kemenangan ini merupakan satu mercu tanda kepada syarikat untuk terus menjalankan CSR selari dengan polisi syarikat yang turut menekankan kelestarian alam semula jadi.

“Penganugerahan Laporan Kelestarian 2019 terbaik yang diterima oleh GPB membuktikan bahawa kita komited bagi memastikan alam semula jadi terpelihara dan ia juga satu cabaran yang lebih besar di masa hadapan untuk membuat yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini GPB turut mencatatkan sejarah di kalangan anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu apabila tercalon sebagai syarikat ketiga terbaik dalam Laporan Kelestarian di seluruh Asia bersama-sama dengan syarikat Sunway Construction Group Bhd, Singapore Exchange Limit dan New World Development Company Limited dari Hong Kong di Majlis Anugerah Asia Sustainability Reporting Awards 2019.