• 02 Ogos 2021 | 23 Zulhijah 1442

Golongan Berpendapatan Rendah, Miskin Tegar Terima Kad Sejahtera

KUALA NERUS, 6 Mac – Golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar antara 41 penduduk di Bukit Tok Beng yang menerima kad rawatan percuma di klinik swasta terpilih baru-baru ini.

Pegawai DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, penerima bakal menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10.9 juta setahun.

“Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan mengenalpasti mereka yang layak menerima skim ini khususnya yang mempunyai ahli keluarga kesihatan bermasalah," katanya kepada UPDI selepas menyampaikan Kad Sejahtera kepada penduduk yang layak.

Kata Fazil lagi, syarat untuk mendapatkan skim itu ialah wajib mengisi borang Profail Rakyat Terengganu (PRT) dan permohonan hendaklah melalui pejabat DUN masing-masing.

Dalam pada itu, Pengerusi JPKK Bukit Tok Beng, Rozi Sakiman berkata, seramai 41 penerima dari Bukit Tok Beng itu telah dipilih dengan prosedur yang teliti.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir kerana sudi hadir menyerahkan Kad Sejahtera bagi tahun 2021,” Ujarnya.

Seorang wakil penerima, Siti Zulaikha berkata, dia mewakili bapa saudaranya Che Ismail Chik yang tidak dapat hadir kerana masalah cacat penglihatan dan pendengaran mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.

“Sebelum ini bapa saudara sudah memohon Kad Sejahtera selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memang berulang-alik ke klinik dan memakai alat pendengaran," katanya.


Tag: