Graduan Perlu Tingkat Kemahiran Bagi Penuhi Keperluan Industri
KEMAMAN, 16 Januari – Exco Kerajaan Negeri Terengganu menyifatkan cadangan pihak tertentu supaya kerajaan negeri menggunakan wang ehsan atau royalti petroleum untuk membaiki hakisan pantai sebagai suatu saranan yang 'luar biasa'.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menyatakan pihaknya menghargai cadangan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, namun beliau melihat tindakan tersebut mempunyai muslihat tertentu.
Katanya, Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu seakan berpura-pura tidak tahu tentang bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sedangkan isu hakisan pantai jelas melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Cadangan ini agak luar biasa kerana wang royalti kita pun tak boleh seperti biasa. Jadi, kalau nak guna wang ehsan, nak pakai bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan di Pantai Teluk Kalong, Kemaman, hari ini.
Jelas Razali lagi, masalah hakisan pantai sepatutnya diselesaikan melalui peruntukan khas bencana daripada kerajaan pusat, bukan dengan membebankan dana ehsan yang diperuntukkan untuk pembangunan rakyat.
“Saya menyokong usaha menangani masalah hakisan ini, tetapi adalah lebih baik kita mendapatkan bantuan daripada pusat. Wang ehsan ini perlu digunakan untuk perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan segera sekurang-kurangnya RM80,000 bagi menyelesaikan hakisan di Batu Rakit.
Beliau juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam menoktahkan isu terbabit.
Ahmad Samsuri turut mengingatkan agar isu hakisan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Ahmad Razif sebelum ini mencadangkan Kerajaan Negeri menggunakan wang ehsan bagi menangani segera masalah hakisan pantai di Kuala Nerus.
Namun, pandangan tersebut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Razali, yang menegaskan pentingnya memanfaatkan peruntukan bencana pusat tanpa menyentuh dana ehsan negeri.