• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Gunting Rambut Percuma Ringan Beban Ibu Bapa

KUALA NERUS, 1 April - Program Kembali Ke Sekolah, Gunting Rambut Percuma merupakan program kolaboratif antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha membantu meringankan bebanan masyarakat di luar bandar. 

Program dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyasarkan 100 orang pelajar yang dipilih oleh pihak sekolah mengikut kelayakan yang ditetapkan. 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ketika dihubungi berkata, pihaknya sedar aktiviti seumpama itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang berpendapatan rendah di samping mengurangkan perbelanjaan yang ditanggung bagi menyediakan kelengkapan sekolah yang bakal bermula. 

Menurutnya, harga menggunting rambut  kini boleh mencecah sehingga RM10 seorang dan ia agak membebankan bagi keluarga yang mempunyai anak ramai.

“Pendekatan ini walaupun nampak tidak sebesar mana, tetapi bagi golongan ibu bapa berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai, ia sangat bermakna.

“Bayangkan jika sesebuah keluarga ada 3 orang anak lelaki yang bersekolah, sudah tentu mereka dapat berjimat dan menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan sekolah yang lain,” katanya.

Program yang berlangsung di Giatmara Kuala Nerus itu disempurnakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i mewakili Mohd Khairuddin dengan mematuhi prosedur operasi standard. 

Hadir sama, Pengurus Pusat Giatmara Kuala Nerus, Abd. Wahab Salleh dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Hamid Yahya, .


Tag: