lightning-solid
Berita :
Guru Didakwa Empat Pertuduhan Amang Seksual Terhadap Tiga Murid
Guru Didakwa Empat Pertuduhan Amang Seksual Terhadap Tiga Murid
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
58

BESUT, 28 Julai - Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap tiga murid lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah ini sejak tahun lepas.

Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun di koperasi sekolah berkenaan pada kira-kira 4.30 petang pada April 2025.

Bagi pertuduhan kedua, di lokasi, tarikh dan masa yang sama, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menyebabkan kanak-kanak itu melihat video bersifat seksual.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) dan Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama kerana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.

Bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Izzuddin didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 14 tahun di lokasi sama pada kira-kira 2.40 petang pada Mei 2026.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi murid lelaki berusia 13 tahun di lokasi sama antara 9.15 malam hingga 10.30 malam pada 12 Jun lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(d) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya dia melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Tag :

Artikel Berkaitan