• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Guru Rugi RM791,000 Ditipu Macau Scam

 

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober –Seorang guru di sini terpaksa berputih mata apabila kerugian RM791,000 akibat ditipu oleh  sindiket penipuan Macau Scam sejak akhir tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, mangsa berusia 51 tahun itu menyedari dia ditipu apabila akaun bank miliknya hanya berbaki RM208 sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, petang semalam.

Kerugian ditangung melibatkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 1 dan ASB serta dua pembiayaan peribadi dan akaun simpanan milik mangsa yang berasal dari Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus.

Katanya, pada bulan Disember 2019 , guru lelaki terbabit  telah dihubungi oleh individu mengakui sebagai pegawai bank memaklumkan bahawa mangsa masih mempunyai pinjaman tertunggak RM50,000 sebelum talian disambung kononnya ke Balai Polis Seri Kembangan, Selangor.

“Kemudian diberitahu bahawa mangsa telah terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 juta dan boleh ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang.

“Akibat terpedaya mangsa telah didorong mendaftar akaun RHB yang baru dan kemudiannya memasukkan semua wang simpanan  ke dalam akaun berkenaan dan dalam masa sama telah dedahkan maklumat akaun berkenaan membolehkan sindiket membuat pindahan wang keluar daripada akaun RHB miliknya tersebut,”ujarnya.

 Tambah Roslee, guru berkenaan  telah memindahkan wang ke dalam akaun RHB miliknya sebanyak tujuh kali bermula daripada bulan januari 2020 dan tidak tahu bila pindahan wang dibuat daripada akaun RHB tersebut. 

Katanya, laporan polis kemudian dibuat pada Sabtu lalu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan sama, Roslee turut  menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan tidak melayan mana-mana nombor telefon tidak dikenali termasuk panggilan dari luar negara.

“Paling mustahak, usah dedahkan sebarang maklumat akaun bank anda kepada mana-mana pihak tidak dikenali.

“Jika ragu-ragu segera buat semakan pada portal dan aplikasi, Semak Mule bagi memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan,” katanya.


Tag: