• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Hab Aeroangkasa : Terengganu Sedia Sahut Cabaran

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri (tengah) selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lembu Kurban Sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Pulau Kerengga hari ini.
MARANG, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu terbuka untuk menerima cadangan menjadikan negeri itu sebagai hab aeroangkasa negara di masa akan datang.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri terbuka kepada apa juga cadangan tetapi kerajaan akan melihat sama ada projek berkenaan memberi beban kewangan atau sebaliknya.

"Apapun kita terbuka kepada apa juga cadangan tetapi kita akan tengok sama ada ianya memberi beban kewangan kepada kerajaan negeri ataupun tidak.

"Kalau ianya memberi beban kewangan maka 'return of investment' (pulangan pelaburan) kita itu, berapa lama? Kalau sangat panjang, maka ianya tidak sesuai sebab kita masih lagi mempunyai tanggungjawab sosial terhadap rakyat negeri Terengganu," jelas beliau.
 
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Pulau Kerengga, di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Terengganu bersedia membuat pertimbangan sekiranya disokong oleh Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi terbabit jika tidak membabitkan beban kewangan.

"Kalau betul begitu dan ada sokongan daripada Kerajaan Pusat dan agensi-agensi yang terlibat, barulah kita (kerajaan negeri) boleh buat pertimbangan.

"Kita juga tidak mahu apa juga inisiatif yang dibuat di Terengganu ini memberi beban kewangan kepada kerajaan disebabkan pelaburan berskala besar," ujarnya.

Pelaburan besar sebegini katanya harus diteliti dengan sebaik mungkin sebelum dibuat pertimbangan.

"Pelaburan sesebuah syarikat mungkin berbeza tetapi bagi kerajaan negeri, kita ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat seperti pendidikan dan isu kesihatan (yang perlu diberi keutamaan)," ujarnya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk membangunkan hab aeroangkasa berhampiran Lapangan Terbang Subang baru-baru ini berkata, negara itu memerlukan beberapa 'hub aerospace'.

Mengulas lebih lanjut, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, beliau percaya Malaysia memang mempunyai tenaga pakar dalam bidang tersebut dan satu 'blueprint' industri aeroangkasa telah dibuat.

"Saya juga salah seorang tenaga yang bertanggungjawab melaksanakan 'blueprint' tersebut.

"Cuma apabila berlaku kelembapan ekonomi di peringkat dunia dan Malaysia dengan sendirinya terkesan dengannya," jelasnya.

Justeru katanya, dengan perkembangan itu pelaksanaan industri aeroangkasa di Malaysia turut terkesan.

Dari segi 'human resouce' (pembinaan modal insan), kepakaran dan sebagainya itu kurang terkesan berbanding dengan kesan kepada industri.

"Jadi masalah kelembapan ekonomi global menyebabkan industri ini tidak seimbang dengan pembinaan modal insan atau dengan kata lain tidak bergerak seiring.

"Apabila industri itu terkesan kerana  masalah ekonomi global menjadi perlahan, namun modal insan perlu berterusan (diberi perhatian).

"Sebenarnya kita mempunyai kapasiti modal insan yang mencukupi yang boleh menghidupkan industri itu dalam apa jua 'sub' bidang aeroangkasa," jelasnya lagi.

Menurut beliau, oleh kerana bidang itu melibatkan pelaburan yang besar dan agak strategik, maka Kerajaan Pusat yang paling sesuai mengorak langkah melaksanakan projek negara itu.

Tag: