• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Hadapi PKP Secara Positif

DUNGUN, 21 Januari- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 22 Januari sehingga 4 Februari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap ketua keluarga untuk menghidupkan kembali aktiviti kekeluargaan masing-masing.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tempoh berkenaan seharusnya digunakan untuk mendekatkan lagi ahli keluarga terhadap ilmu agama.

"Diantara aktiviti yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga sepanjang PKP ini ialah mendirikan solat jemaah, menyampaikan kuliah agama dalam keluarga, dan juga boleh mewujudkan pertandingan mengaji bagi membaiki bacaan anak-anak dan sebagainya.

"InsyaAllah ianya akan mengukuhkan hubungan kekeluargaan disamping itu amat diharapkan agar setiap keluarga melakukan solat hajat dan berdoa pada setiap hari agar pandemik COVID-19 ini dapat diputuskan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, ketika mengulas mengenai arahan PKP yang akan mula dikuatkuasakan mulai esok.

Katanya, langkah kerajaan mengenakan PKP adalah langkah tepat dan wajar.

"Kita terpaksa akur dengan langkah yang telah diambil oleh kerajaan kerana peningkatan kes positif berada pada paras membimbangkan dengan angka yang dicatatkan setakat semalam di Malaysia 4,008 kes dan bagi Negeri Terengganu 81 kes.

"Semoga dengan doa daripada seluruh rakyat, maka pandemik ini akan berakhir dan kita akan kembali menjalani kehidupan yang normal," ujarnya.


Tag: