• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hadir, Dukung dan Bina Keluarga Malaysia

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru rakyat Terengganu untuk hadir beramai-ramai ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) yang akan berlangsung pada 2 sehingga 4 Jun ini di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus bagi sama-sama menghayati konsep diterapkan kerajaan itu.

"Sudah tentu apabila kita melaksanakan program ini kita mendukung semangat kerjasama, kesepaduan dalam satu masyarakat dan komuniti serta kebersamaan di Negeri Terengganu khususnya. 

"Oleh kerana itu, kerajaan negeri menyokong dan mendukung Aspirasi Keluarga Malaysia ini daripada awal lagi dan bagi kita ia sangat bertepatan dengan keperluan dan suasana semasa ketika ini.

"Yang paling penting dalam program ini ialah bagaimana kita menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk sama-sama membentuk satu keluarga malaysia dan juga menghidupkan kembali ekonomi seluruh anggota masyarakat setelah kita berdepan pandemik sejak dua tahun lamanya," katanya ketika ditemu bual TV AlHijrah, hari ini.

Sehubungan itu, beliau dan seluruh kepimpinan negeri menyeru masyarakat hadir dan meraikan pelbagai aktiviti yang disediakan.

"Kami diperingkat kerajaan negeri amat teruja dengan penganjuran JAKM dan kita ingin memaksimakan kehadiran dikalangan pengunjung, setakat ini persiapan diketuai kementerian peneraju iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia berjalan lancar. 

"Oleh itu pelbagai tarikan dirancang untuk pengunjung terutama penglibatan kementerian dan jualan yang menjadi tumpuan pada program ini.

"Ada karnival kerjaya, jualan, dan pada salah satu malam ada Kuala Terengganu Berselawat, jadi kita cuba membuat pengisian jasmani dan rohani dalam memenuhi keperluan hidup bekeluarga," katanya.

 

 

 

 


Tag: