• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Hakim Danish, Qabil Terima Insentif Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri melalui Urusetia Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu (UBSNT), hari ini menyampaikan insentif kepada dua Ikon Permotoran Terengganu iaitu Muhamad Hakim Danish Ramli (15 tahun) dan Qabil Irfan Azlan (10 tahun) bagi membantu pelumba-pelumba cilik itu melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif tersebut merupakan penghargaan kerajaan negeri sempena meraikan kejayaan Hakim juara keseluruhan Asian Talent Cup 2022 di Litar Mandalika, Indonesia baru-baru ini dan Qabil yang meraih tempat ketiga dalam FIM Mini GP World Series di Valencia, Sepanyol.

"Untuk Qabil, beliau merupakan peserta paling muda dari kalangan 16 buah negara bertanding.

"Atas kemenangan tersebut kerajaan negeri sebagai tambahan turut bersetuju menaja sebuah motosikal sebagai jentera khas yang diperlukan Qabil untuk latihan dan pertandingan, bernilai kira-kira RM50,000.

"Harapan kerajaan dengan adanya insentif ini akan memberikan galakan dan semangat kepada kedua-dua ikon ini untuk terus maju ke peringkat lebih tinggi dalam sukan permotoran," katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Wan Sukairi juga mengumumkan penganjuran Terengganu Motocross Series 2023 (TMS 2023) sebagai salah satu kejohanan sukan bagi tahun 2023.

Kejohanan itu berlangsung sebanyak lima siri di litar-litar seluruh Terengganu dan dijangkakan melibatkan penyertaan sekitar 3,000 peminat sukan motor lasak tempatan dan antarabangsa.

 

 

 


Tag: