• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hampir Pasti Pertembungan Tiga Penjuru Pada PRU14 - Zahid


Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini membayangkan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)  hampir pasti.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, senario terbaharu politik kini berubah apabila Majlis Syura Ulama Pas menerima usul dibawa dalam muktamar parti itu baru-baru ini memutuskan tahaluf siyasi Pas dengan PKR terbatal sekali gus Pas berdiri sendiri sebagai parti tunggal.


"Ekosistem dan senario politik telah berubah.. dulu seolah-olah kita berada dalam dua sistem kepartian. BN lawan pembangkang. Kini ekosistem politik berubah.. BN lawan Pakatan Harapan dan ditengah- tengahnya kawan kita daripada Pas.

"Hampir pasti di semua kerusi kita akan melawan tiga penjuru..kerana keputusan Majlis Syura, Pas berpecah daripada PKR.. berpecah daripada DAP sudah begitu lama. Pas akan berdiri sendiri dan berdiri dengan tegak sebagai parti tunggal serta menawarkan diri pada PRU14. Ertinya ada BN dari pelbagai parti, ada Pas akan menjadi parti tunggal, ada Pakatan Harapan daripada pelbagai parti..Hakikat dulu mungkin kita hadapi dua penjuru. Tetapi senario kini kita hadapi tiga penjuru,"  katanya di Majlis Himpunan Mesra Rakyat dan Pelancaran Jalinan Rakyat PLUS (JR Plus) di Padang Bola Kampung Gelugor, DUN Alor Limbat, Marang.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latif Awang.


Hadir sama,  pemimpin setempat serta kira-kira 15,000 hadirin dari pelbagai lapisan masyarakat.

Zahid juga mengingatkan semua jentera dan penyokong BN supaya tidak terlalu selesa dan terleka dengan pertandingan tiga penjuru ini dengan menganggapnya lebih mudah berbanding dua penjuru.

"Musuh-musuh politik pastinya akan berusaha untuk melihat BN tersungkur pada PRU nanti dengan pelbagai cara,"katanya lagi.

Beliau juga berharap JR Plus yang melibatkan semua sayap parti akan memainkan peranan penting sebagai jentera utama pada PRU14 untuk memastikan kemenangan BN menerusi pertandingan tiga penjuru berkenaan.

Tambahnya lagi,  semua pemimpin dan ahli akar umbi perlu menggandakan usaha dan bertawakal kepada Allah SAW supaya BN mampu menawan lebih banyak kerusi selain mengekalkan kemenangan DUN dan Parlimen pada PRU nanti.




Tag: