lightning-solid
Berita :
Hampir RM400,000 Diperuntukkan Untuk Pengiktirafan Pelajar Imtiaz
Hampir RM400,000 Diperuntukkan Untuk Pengiktirafan Pelajar Imtiaz
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu telah memperuntukkan hampir RM400,000 sebagai peruntukan khas bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.

Pengiktirafan tersebut merupakan satu langkah oleh Kerajaan Negeri bagi meraikan 543 graduan tingkatan 5 dan 6 serta meraikan 543 graduan serta 542 pelajar yang berjaya mengkhatam hafazan 30 juzuk al-Quran.

SAI_6628 .jpg 4.03 MB
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful bahri Mamat berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Terengganu dalam menghargai kecemerlangan pelajar serta memperkasa sistem pendidikan Islam di Terengganu.

"Hari ini kita meraikan dan memberi pengiktirafan kepada 543 orang pelajar yang akan menamatkan pengajian mereka di Imtiaz Yayasan Terengganu. Turut diraikan dengan penuh bangga seramai 542 huffaz yang telah berjaya khatam 30 Juzuk Al Quran.

"Kejayaan para pelajar yang diraikan pada hari ini adalah bukti jelas bahawa pendekatan pendidikan Imtiaz telah membuahkan hasil yang membanggakan.

SAI_6503 .jpg 3.07 MB
"Melihat kepada betapa pentingnya pengiktirafan ini kepada para pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran di Imtiaz beserta khatam hafazan 30 juzuk, sebanyak hampir RM400,000 telah diluluskan sebagai peruntukan bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar Imtiaz," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi & Anugerah Hafazan Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kali Ke-16 Tahun 2026 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), pagi tadi.Tambah Satiful, sokongan kewangan itu juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai 'Profesional Huffaz' yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan ummah yang turut selari dengan prinsip kedua dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).

Dalam pada itu, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pencapaian para pelajar khususnya mereka yang berjaya menghafaz 30 juzuk dalam tempoh pengajian merupakan satu perkara yang membanggakan.

SAI_6487 .jpg 2.98 MB
"Ini adalah satu kejayaan yang sangat membanggakan kerana walaupun murid mempunyai pelbagai rutin harian yang padat sebagai pelajar Soleh Pintar, namun mereka tetap mampu menghafaz al-Quran mengikut Kurikulum Hafazan Imtiaz yang ditetapkan.

"Statistik yang membanggakan ini jelas membuktikan bahawa Imtiaz telah berada di landasan yang tepat dalam merealisasikan matlamat penubuhannya iaitu sebagai pusat yang melahirkan Huffaz Profesional," katanya.

Antara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut itu tadi adalah Anugerah Tokoh Ulul Albab, Anugerah Quranik, Anugerah Ibnu Sina, Anugerah Al Fateh, Anugerah Al Farabi dan Anugerah As Syafie.

Kerajaan negeri turut menzahirkan hasrat untuk memberi sokongan berterusan kepada Yayasan Terengganu dan Imtiaz sebagai institusi utama melahirkan modal insan rabbani berteraskan al-Quran.


Artikel Berkaitan