• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Hampir Separuh Keluasan Terengganu Adalah Hutan Simpan

KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Jumlah keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Terengganu sehingga hari ini adalah 540,380 ribu hektar bersamaan 42 peratus daripada keluasan negeri.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Azni Rahman A Wahid menyifatkan status kawasan sumber hutan itu masih relevan untuk tempoh yang lama.

Katanya, kejayaan itu dicapai ekoran langkah kerajaan negeri mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan dan kawalan ke atas hasil hutan.

“Bermula dari dulu hingga kini, kawasan berhutan yang diwartakan sebagai HSK itu 126 ribu hektar daripadanya telah dikelaskan sebagai hutan perlindungan.

“Dianggarkan 23.5 peratus adalah kawasan hutan perlindungan terdiri daripada pelbagai kategori seperti hutan tadahan air, hutan simpanan hidupan liar, hutan simpanan hutan dara dan sebagainya, maknanya tiada aktiviti pembalakan dan sebagainya berlaku di tempat terbabit,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) baru-baru ini.

Mengulas mengenai status Hutan Simpan Rasau Kertih, beliau berkata tanah berkeluasan kira-kira 16 ribu hektar itu telah diwartakan sejak tahun 1951 dengan tiada kesan pengecilan berlaku hasil penguatkuasaan dijalankan pihaknya.

“Di dalam hutan simpan tersebut, kira-kira dua ribu hektar telah diwartakan sebagai kawasan hutan perlindungan kerana di sana terletaknya ekosistem penting seperti hutan tadahan air, hutan simpanan dara hutan lipur yang sekarang ini tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembalakan.

“Dari mula sehingga 2022, hanya tiga lesen pembalakan diluluskan di kawasan kategori hutan simpan itu, untuk makluman sekiranya ada urusan perlesenan berlaku," jelasnya.

Tambahnya, kaedah pengurusan hutan secara berkekalan tersebut memfokuskan tebangan terpilih dibawah kadar penebangan dibenarkan.

Tambah Azni Rahman, pihaknya mengalu-alukan sebarang aduan jika berlakunya sebarang kes kesalahan hutan untuk tindakan selanjutnya disamping pemantauan dari semasa ke semasa yang dijalankan.