• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Hanafiah Nafi i-Bantuan Rasuah PRU

KUALA TERENGGANU, 3 Februari- Skim-skim bantuan yang disalurkan kerajaan Terengganu telah dijadualkan lebih awal dan bukan bertujuan menjadi 'gula-gula' ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menafikan agihan bantuan yang disampaikan bertujuan mempengaruhi pengundi.

"Ini tiada kena-mengena dengan PRU, kerajaan negeri mulai tahun lepas telah membentuk Skim i-Bantuan yang merangkumi bantuan kepada pelbagai golongan. Kenapa bukan dua tahun dulu.

"Ini kerana ketika itu, kerajaan negeri menumpukan gerak kerja dalam menghadapi Covid-19 dan memberikan kewangan bukan sahaja kepada mangsa-mangsa tetapi juga kepada hospital dan pejabat kesihatan untuk membeli kelengkapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di KTCC Mall, hari ini.

Jelasnya, setelah habis Covid-19, kerajaan negeri bersetuju untuk mengadakan i-Bantuan merangkumi beberapa sasaran seperti i-Fitri, i-Belia, Pencen Rakyat, i-Ibu Tunggal, i-Mahasiswa dan bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyuntik lebihan tunai kepada rakyat dalam pasca pandemik.

"Oleh kerana bantuan-bantuan ini di bawah portfolio saya, bermula selepas pembentangan bajet dan diluluskan, sejak bulan Februari tahun lalu saya telah merancang dan telah membentangkan jadual pembayaran yang mana agihan dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober dan November.

 "Tiba-tiba Perdana Menteri ketika itu membubarkan parlimen, itu yang nampak kecoh sedikit apabila i-Bantuan diagihkan sedangkan ia sememangnya mengikut jadual asal.

"Begitu juga pada tahun ini, insya-Allah i-Bantuan akan bermula dengan i-Fitri dan selepas habis sahaja hari raya, kita akan agihkan Pencen Rakyat kerana kita bimbang sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan awal untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), jadi sebahagian bantuan perlulah selesai disalurkan," katanya.

Dalam majlis berkenaan, KTCC Mall mengagihkan beg kudap-kudapan serta angpau kepada seramai 50 anak-anak yatim dari Asrama Darul Falah dan 20 kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Kuala Terengganu.

Majlis diserikan persembahan tarian singa dan persembahan gendang cina yang turut dihadiri Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Pejabat Menteri Besar Terengganu; Dr Balachandran Gopal Krishnan, Naib Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Vincent Ng Thian Hock dan Ketua Pemuda Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu; Tan Teck Lee.

 

 


Tag: