• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Hanya Dua Das Tembakan Dilepaskan Dalam 15 Tahun- APMM

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Selepas 15 tahun beroperasi sejak 2005, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menegaskan, hanya dua das tembakan telah dilepaskan terhadap nelayan asing yang bertindak agresif ketika dikesan menceroboh perairan negara iaitu dalam insiden yang berlaku di Kelantan dan Johor, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som, sebagaimana agensi penguatkuasa lain, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan ‘Rules of Engagement’ penggunaan senjata api sebelum mengambilkan tindakan terhadap mana-mana bot nelayan asing.

Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil.

“Kita ada SOP dan perlu mematuhinya mengikut tahap tertentu. Sekiranya wujud kejadian yang mengancam nyawa anggota serta menyebabkan kerosakan harta benda kerajaan barulah kita bertindak.

"Ia termasuk tembakan amaran ke udara bagi mempertahankan diri, nyawa dan aset kerajaan sekiranya bot nelayan terbabit bertindak mengancam keselamatan. Itupun selepas kita memperkenalkan diri dalam keadaan memakai uniform. Sepatutnya nelayan asing faham dan perlu menghentikan bot masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian pameran Maritim Malaysia oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim di galeri Skybridge, jambatan angkat Terengganu (drawbridge) di sini malam tadi.

Ahmad Amzad merasmikan pameran Maritim Malaysia bersama Mohd. Zubil (kiri) dan disaksikan Maliaman (dua dari kanan).

Turut hadir, Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim, Pengerusi dan Pengarah TI Properties Sdn. Bhd., Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan Pengarah Maritim Negeri, Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Mengulas perkembangan mengenai insiden tembakan antara APMM dan nelayan asing itu, Mohd. Zubil berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada kedutaan di kedua-dua negara dan kes itu masih dalam siasatan polis.

Terdahulu, APMM Kelantan terpaksa melepaskan tembakan ke arah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara selepas pasukan keselamatan itu dibaling bom diesel serta dilanggar oleh bot asing berkenaan.

Kejadian itu telah meragut nyawa seorang nelayan Vietnam apabila serpihan tembakan amaran itu terkena salah seorang daripada krew mereka.

Manakala, kejadian kedua pula berlaku di Johor di mana seorang tekong mati terkena tembakan ketika bergelut dengan anggota APMM selepas cuba menyeludup burung murai di perairan Tanjung Kelesa, Bandar Penawar.
 

 


Tag: