• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Dua Hari 'Outreach', 7,000 Individu Terima Dos Pertama

KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi dalam negeri, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melaksanakan program khidmat santun masyarakat (outreach) di seluruh wilayahnya.

"Usaha kita ialah menubuhkan Skuad Ambil Cakna untuk bersama memastikan capaian 80 peratus vaksinasi berjaya dan selama hampir seminggu pelaksanaannya, kita telah berjaya daftarkan seramai 28 ribu penduduk di wilayah KETENGAH bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) daripada sekitar 70-80 ribu penduduk yang layak.

"Manakala, program 'outreach' yang dilancarkan selama dua hari dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan, kita telah berjaya melakukan vaksinasi kepada sekitar 7,000 penduduk. Saya jangka dengan usaha berterusan, kita akan melebih 80 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam tempoh dua minggu ke hadapan," katanya Pengerusi KETENGAH, Dato' Razali Idris.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan saguhati sebagai kepada pengamal media di Terengganu sebagai penghargaan atas usaha menyampaikan maklumat dan laporan yang tepat kepada masyarakat, di sini hari ini.

Jelasnya, pihak KETENGAH turut mencadangkan lima lokasi yang sesuai untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi melancarkan proses vaksinasi dan memudahkan penduduk setempat.

"Sebenarnya, dalam wilayah KETENGAH belum ada PPV dan lokasi yang dicadangkan masih dalam proses. Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus ada menjanjikan Balai Orang Ramai (BALORA) di bandar Al Muktafi Billah akan dijadikan PPV.

"Tetapi, apabila melihat kejayaan program 'outreach', maka kita mencadangkan lebih banyak program ini dapat dilaksanakan berbanding mewujudkan PPV," katanya.

Sebanyak 17 lagi lokasi dicadangkan untuk pelaksanaan program 'outreach' dan ia diterima baik jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

"Pengarah Kesihatan Negeri juga bersetuju dengan pelaksanaan outreach lebih banyak dan saya jangka, kalau kita hari ini sudah mencecah 30 ribu penerima, dalam dua minggu kita mampu capai lebih daripada 80 ribu penduduk. Cuma, sekarang kita masuk secara berperingkat menggunakan segala aset yang ada.

"Saya rasa dalam minggu hadapan kita akan lihat pelaksanaannya," katanya.