• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Hanya Mahkamah Dapat Buktikan Bersalah - MB Terengganu

Penjawat awam dinasihatkan berkhidmat penuh amanah dan integriti.
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Kerajaan negeri kekal mempertahankan prinsip keadilan bahawa seseorang itu benar-benar bersalah apabila telah dibuktikan di mahkamah.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana salah laku jenayah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan penjawat awam.

"Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa tentang tempoh reman mereka. Saya percaya, apabila tempoh ini berakhir mereka akan kembali bertugas di jawatan masing-masing.

"Kita mesti ingat bahawa prinsip keadilan, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah, bukan di media atau di peringkat persepsi," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan yang menyaksikan 16 pegawai kanan menerima watikah pelantikan bagi jawatan utama negeri.

Dr Samsuri mengulas penahanan reman seorang pegawai daerah negeri ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lalu.

Sebagai pemimpin negeri, Dr. Samsuri berharap kes berkenaan adalah kes terpencil yang berlaku di negeri ini.

Dr. Samsuri melihat pegawai kanan yang dilantik menandatangani penerimaan watikah pelantikan.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri konsisten untuk mempunyai jentera pentadbiran yang bebas daripada apa jua salah guna kuasa sama ada melibatkan kewangan atau perjawatan mereka.

"Kita menyeru semua penjawat awam terutamanya di negeri Terengganu untuk berkhidmat penuh amanah dan berintegriti kerana kita hanya menjalankan tugas.

"Sebagai Muslim, ini adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

"Ia juga perlu menjadi benteng kepada semua anggota pentadbiran di pelbagai peringkat, seluruh jentera termasuklah semua ahli politik di negeri ini," katanya.



Tag: