• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Hanya Mampu Berpelukan Ketika Atap Diterbangkan Angin'

HULU TERENGGANU, 7 Julai - Hampir 300 penduduk yang menghuni perumahan Padang Setengge di sini berdepan detik mencemaskan apabila berlaku ribut serta angin kencang yang mengakibatkan kerosakkan rumah, pada tengah malam tadi.

Kejadian ribut pada pukul 6 petang itu merupakan bencana terburuk yang pernah melanda kawasan taman perumahan berkenaan sejak beberapa tahun kerana melibatkan hampir 80 rumah.

Salah seorang mangsa, Norliza Abu bakar, 40, berkata, angin kuat menerbangkan lebih 10 keping atap rumahnya, manakala serpihan struktur itu terkena bahagian lain hingga menyebabkan kerosakan lebih banyak.

“Bunyi sangat kuat dan nampak angin berpusar sebelum rangka bumbung bahagian  hadapan tercabut dan  hempap atap rumah.

"Semasa kejadian saya dan empat lagi ahli keluarga berpelukan antara satu sama lain dan hanya bertawakal sambil berlindung dalam rumah dengan keadaan angin kencang, hujan lebat.

"Selama empat tahun saya duduk di sini, ini pertama kali berlaku. Kami masih lagi trauma dan terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Suaminya, Noor Zihan Yahya, 44, kemudiannya menutup semua punca elektrik bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini demi keselamatan anak-anak.

Seorang lagi mangsa ribut, Nadiah Mohd, 42, pula memberitahu, rumahnya juga paling teruk dipukul ribut apabila hampir semua atap diterbangkan dan menyifatkan kejadian itu paling buruk sejak menetap di situ lebih sembilan tahun lalu.

"Masa kejadian saya keluar tengok angin kuat sangat dan tak senang hati...lepas tu nampak atap rumah bawah tercabut.

"Angin datang dengan laju, sekelip mata je rempuh rumah kami dan atap terbang...anak-anak menangis ketakutan,"katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.