• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Hanya Sektor Komersial Dikenakan Lesen, Bayaran Pengambilan Air

KUALA TERENGGANU, 22 September – Penguatkuasaan lesen dan bayaran bagi aktiviti pengambilan atau penggubahan sumber air hanya terpakai bagi sektor komersial sahaja.

Pengarah Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), Safura Mad Juhari berkata, orang awam tidak perlu terkeliru kerana peraturan tersebut tidak akan dikenakan kepada mereka yang melakukan aktiviti harian atau sara diri seperti pertanian, penternakan, telaga dan ‘boreng’ persendirian.

“Peraturan-peraturan Pengabstrakan Air dan Aktiviti Penggubahan Sumber (Terengganu) 2021 berkait isu itu telah dikuatkuasakan 1 Jun 2021.

“Namun, Seksyen 48 Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020, penguatkuasaan itu adalah tidak melibatkan aktiviti bagi tujuan sara diri bukan komersial.

“Antara yang diklafisikasikan sebagai sara diri ialah menyedut atau mengepam air bawah tanah di bawah premis atau tanah atau dari sungai atau badan air yang menghadap premis atau tanah sendiri atau diduduki olehnya, bagi tujuan kegunaan isi rumah,” katanya ketika dihubungi UPDI hari ini. 

Beliau turut menjelaskan bahawa aktiviti pertanian atau penternakan sara diri yang mengabstrak air tidak melebihi 10 ribu liter sehari tidak dikenakan penguatkuasaan berdasarkan enakmen ini.

Tegas Safura, peraturan itu dilaksanakan bagi mengelakkan perkara seperti insiden air yang berlaku di dua daerah baru-baru ini berulang kembali.

“Mana-mana pihak yang melakukan pengabstrakan air atau perbuatan mengalihkan, mengambil keluar air atau menyebabkan apa-apa air diambil keluar daripada sumber air mentah di negeri ini, sama ada air itu di atas atau dibawah permukaan tanah dengan apa-apa cara dan aktiviti penggubahan sumber mestilah membuat permohonan lesen kepada pihak LAUT.

“Aktiviti penggubahan sumber juga sama, ia merujuk kepada dirian, binaan, struktur atau pelaksanaan apa-apa kerja atau aktiviti di sumber air yang menyebabkan atau berkemungkinan mempunyai kesan kepada sumber air di negeri ini.

“Kita kenakan peraturan ini kepada pihak yang melakukan perusahaan dan komersial, supaya LAUT dapat merekodkan serta mengawal aktiviti- aktiviti yang melibatkan sumber air untuk kita berwaspada dengan perkara- perkara yang tidak diingini seperti pencemaran sumber air pada masa hadapan.

“Sekiranya penduduk mempunyai aduan berkenaan pencemaran sungai, laut dan sumber air di negeri ini, mereka bolehlah mengadukan perkara tersebut kepada pihak LAUT,” jelasnya.


Tag: