KUALA TERENGGANU, 12 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menegaskan perlunya reformasi federalisme dilaksanakan bagi menstruktur semula hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan agar lebih adil, telus serta berpaksikan semangat Perlembagaan.
Mohd Hafiz Adam berkata, wujud tekanan politik yang mengganggu urus tadbir kerajaan negeri apabila terdapat peruntukan dilewatkan, projek ditangguhkan dan dasar dilaksana tanpa perundingan bersama.
“Perkara ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran pentadbiran, malah memberi kesan langsung kepada rakyat. Ia seolah-olah usaha halus untuk menjejaskan kewibawaan kepimpinan kerajaan negeri yang sedia ada,” tegasnya ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan Terengganu 2026 di Dewan Undangan Negeri, semalam.
Beliau turut menekankan supaya segala peruntukan atau projek daripada kerajaan persekutuan disalurkan terus melalui kerajaan negeri agar pelaksanaannya lebih tersusun dan berasaskan keperluan tempatan.
Mohd Hafiz turut menyentuh beberapa isu lain termasuk keperluan mempercepatkan projek perumahan mampu milik, pembinaan sekolah rendah integrasi SRIDI dan sekolah menengah agama baharu di Bandar Baharu Binjai, penambahbaikan bekalan air serta pembangunan ekonomi peneroka FELDA Air Putih.
"Diharapkan bajet kali ini dapat memperuntukkan lebih banyak dana untuk penyelenggaraan dan naik taraf sistem paip utama dan tangki agihan.
"Penduduk Felda di Air Putih menghadapi isu pendapatan dan peluang pekerjaan generasi kedua.
"Oleh itu, program keusahawanan dan desa pertanian moden perlu diperluas agar mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil sawit semata-mata," ujarnya.
Selain itu, beliau menyokong tindakan tegas terhadap penerokaan haram tanah kerajaan dan sumber mineral nadir bumi (REE) yang menyebabkan ketirisan hasil negeri.
Hafiz turut menyokong tuntutan kerajaan negeri terhadap FELDA berhubung isu hak milik tanah yang masih belum diselesaikan.
"Negeri harus diberi kuasa sebenar dalam hal-hal seperti sumber asli, pelan pembangunan wilayah, perlaksanaan projek rakyat.
"Hanya dengan cara ini kesejahteraan rakyat dapat dicapai tanpa ganguan politik atau birokrasi yang tidak perlu," tambahnya.