• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

‘Harap Tak Guna Duit Royalti’

KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Kerajaan Negeri berharap pemberian insentif sebanyak RM5.23 juta oleh Kerajaan Persekutuan kepada 766 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Terengganu kelmarin tidak melibatkan duit royalti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau juga berharap insentif urus tadbir sempena penubuhan JPKKP di Terengganu itu juga tidak melibatkan permainan politik.

“Baguslah diberi kepada rakyat Terengganu, kita harap ia tidak dipolitikkan dan tidak menggunakan duit royalti,” respon beliau ringkas ketika di Facebook rasminya hari ini.

Kelmarin, Zahid menyerahkan insentif tadbir urus kepada JPKKP Terengganu pada Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun.

Hadir sama dalam majlis terbabit ialah Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Nik Dir Nik Wan Ku dan Penasihat UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Sebelum ini, rata-rata rakyat Terengganu mahu Kerajaan Persekutuan melunaskan bayaran royalti yang menjadi hak negeri.

Peniaga pasar tani, Mohd Shafia Yusof, 56, berkata tindakan menangguhkan bayaran itu bukan satu tindakan bijak tetapi ia menzalimi dan menyusahkan masyarakat Terengganu yang menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri.

Katanya, melalui wang royalti segala kebajikan untuk rakyat seperti i-Belia, i-Fitri, i-Perantau, bantuan kewangan untuk orang kurang upaya (OKU) dan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS) dapat dilakukan.

"Sebenarnya tindakan melambat-lambatkan wang royalti ini seolah-olah sengaja mahu mencipta persepsi serta pandangan kalangan rakyat bahawa kerajaan negeri tidak mampu menjaga rakyat sedangkan mereka (Kerajan Persekutuan) yang menafikan hak rakyat.

"Kita minta supaya Kerajaan Pusat melunaskan semua hak rakyat yang tertunggak termasuk duit royalti ini," ujarnya ketika ditemui di Pasar Tani, Padang Hiliran.

Sementara itu, bagi rakyat biasa, Mohd Shah Abdul Ghani berharap Kerajaan Persekutuan memberikan hak itu terus kepada kerajaan negeri untuk diuruskan.

"Setahu saya sepatutnya kita menerima RM1.5 bilion, tetapi yang diterima hanya lebih RM600 juta sahaja setakat ini, jadi kita minta supaya disalurkan mengikut jadual demi kebaikan semua pihak, itu duit negeri dan untuk kegunaan negeri, bukan duit Persekutuan dan bukan untuk kegunaan mana-mana wakil Persekutuan," katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri masih mengekalkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai agensi negeri biarpun kerajaan Persekutuan menubuhkan JPKKP sebagai wakil Kerajaan Persekutuan di negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu mampu menguruskan sendiri segala perbelanjaan JPKK termasuk menyalurkan peruntukan dengan ditanggung oleh kerajaan negeri.


Tag: