• 25 Sept 2023 | 10 Rabiul Awal 1445

Hargai Nyawa, Elakkan Bahaya Ketika Banjir

HULU TERENGGANU, 20 Disember - Orang ramai di daerah ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak menjadikan banjir sebagai satu pesta.

Ketua Polis Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, nasihat itu diberikan bagi mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Katanya, ini kerana pihaknya mendapati setiap kali berlakunya banjir, ada penduduk sekitar menjadikannya seolah-olah satu temasya air yang menyeronokkan tanpa menghiraukan bahaya yang ada di sekitar.

"Tinjauan yang dilakukan oleh pihak polis, ramai kanak-kanak yang bermain air tanpa pengawasan orang dewasa.

"Walaupun mungkin bagi sesetengah penduduk di sini mereka telah biasa dengan banjir dan menganggap kawasan rumah mereka tidak berbahaya namun kita tidak tahu arus yang deras boleh membahayakan nyawa anak-anak mereka.

"Kita ingatkan kepada ibu bapa pastikan keselamatan anak-anak dan cegah mereka dari main banjir di kawasan berbahaya," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu Adli berkata, banjir yang berlaku di daerah itu berpunca daripada hujan berterusan sejak Khamis lepas ekoran limpahan air Sungai Berang dan air Sungai Telemong.

"Sehingga kini pasukan operasi banjir daerah  telah melancarkan operasi bencana bagi menyelamat dan memberikan bantuan kepada semua mangsa bencana bersama-sama dengan agensi-agensi yang terlibat," ujarnya.

Setakat hari ini jumlah pusat pemindahan telah dicatatkan adalah sebanyak lima buah melibatkan seramai 355 mangsa yang telah dipindahkan.

 


Tag: