Hari Sapu Bersih Terengganu Dijadual 22 April 2025

KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Hari Sapu Bersih Terengganu akan diadakan secara besar-besaran pada 22 April ini bersempena Hari Bumi Sedunia dan akan menjadi program tahunan bermula 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata jika sebelum ini program pembersihan dijalankan secara kecil-kecilan, kali ini kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk melaksanakannya secara menyeluruh di seluruh Terengganu.

“Program yang diberi nama Hari Sapu Bersih Terengganu ini akan menghimpunkan seluruh rakyat Terengganu, termasuk pelajar universiti, badan bukan kerajaan (NGO), serta pelancong yang berada di negeri ini.

“Pada hari tersebut, semua orang akan turun padang bagi membersihkan kawasan masing-masing, termasuk kampung, bandar, institusi, kawasan pelancongan, serta perairan seperti pantai, sungai, dan laut.

“Aktiviti pembersihan dalam air pula akan melibatkan penyelam profesional, nelayan, serta sukarelawan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada Mesyuarat ‘Signature Event Terengganu’ yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridwan Abdul Rahman.

Menurut Razali, program Hari Sapu Bersih Terengganu juga telah menjadi ‘signature event’ bagi negeri itu dan telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Terengganu 2025.

Tambahnya, program itu juga akan memperkukuhkan kebersihan sebagai produk pelancongan utama Terengganu.

Beliau berkata, dengan tema warna putih pada hari tersebut, program itu simbolkan kebersihan dan kesucian, di mana semua peserta digalakkan memakai pakaian putih sebagai tanda komitmen terhadap kebersihan.

"Program tersebut menggunakan 'hashtags #SapuBersih dan #CleanSlate untuk menonjolkan usaha pembersihan dan permulaan baru dalam menjaga kebersihan negeri.

“Program ini bukan sekadar menekankan kebersihan fizikal, tetapi turut mengangkat aspek rohani kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

“Usaha ini bertujuan mendidik masyarakat bahawa kebersihan bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi juga tuntutan agama,” ujarnya.

 


Tag: