• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Harta Boleh Dicari, Nyawa Tiada Pengganti'

HULU TERENGGANU, 26 Disember - "Harta bila-bila boleh dicari tetapi sekiranya hilang nyawa, tiada pengganti, pindahlah walaupun berpengalaman hadapi situasi banjir," ujar Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar.

Beliau berkata secara umumnya operasi menyelamat dan memindah mangsa terjejas banjir berjalan lancar di sepanjang berlakunya gelombang banjir ketiga sejak Sabtu lalu.

Bagaimanapun, terdapat cabaran besar yang dihadapi pihaknya termasuklah berdepan dengan mangsa yang enggan berpindah walaupun kawasan atau kediaman mereka telah dinaiki air.

Katanya, kebanyakan mereka akan memberikan pelbagai alasan terutama sekali keyakinan atas pengalaman mereka berdepan banjir sebelum ini.

"Ada antara mereka yang beritahu sudah 30 tahun tinggal di sini dan ikut pengalaman, banjir sebegini hanya bertahan satu malam.

"Keesokan paginya air akan surut macam biasa jadi tak perlu pindah ," katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Bukit Tok Bat di sini hari ini.

Tambah beliau, matlamat utama mereka adalah menyelamatkan mangsa walaupun terpaksa ‘menahan rasa’ ketika memujuk serta merayu supaya mangsa bersetuju berpindah segera jika situasi semakin tidak terkawal.

Sementara itu, Kuala Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir menjadi kesemua lapan daerah di negeri ini terjejas dengan bah gelombang ketiga bermula sejak Sabtu lalu.

Setakat jam 8 malam ini, seramai 10,258 mangsa daripada 2,871 keluarga berada di 118 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.