KUALA TERENGGANU, 6 September- Cuti persekolahan kali ini memberi limpahan rezeki buat peniaga Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) apabila hasil jualan mereka laris dengan keuntungan berlipat kali ganda berbanding hari-hari biasa.
Bagi peniaga terlibat, rezeki dinikmati itu disambut dengan penuh kesyukuran setelah perniagaan yang mereka usahakan terjejas teruk ketika pandemik COVID-19 melanda negara.
Seorang peniaga barangan cenderahati, Wan Esah Wan Daud, 62, antara peniaga yang mampu tersenyum lebar apabila perniagaannya membawa keuntungan besar pada musim cuti persekolahan penggal kedua yang bermula 2 September lalu.
Katanya, dengan hanya menjual patung penyu di samping barangan cenderahati lain untuk dibawa pulang sebagai kenangan oleh pengunjung, dia mampu meraih hasil jualan antara RM7,000 hingga RM8,000 sehari.
“Alhamdulillah, pada musim cuti sekolah biasanya ramai pengunjung dari luar Terengganu ke pasar payang dan patung penyu antara yang jadi pilihan untuk dijadikan cenderahati.
“Harga patung penyu yang makcik jual pula berpatutan bergantung kepada saiz dan kualiti,” ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika mengadakan tinjauan ke PBKP hari ini.
Perkara sama turut dikongsi Hayati Mat Zin, 54, yang mengakui musim cuti memberikan limpahan rezeki berganda buat peniaga seperti mereka.
“Biasanya ‘cuti sekejap-sekejap’ seperti cuti sekolah seminggu, cuti hari raya dan lain-lain, kunjungan orang ramai ke pasar payang memang luar biasa sehingga saya tidak menang tangan melayan pembeli,” ujarnya yang menjual pelbagai jenis keropok dan buah-buahan.
Sementara itu, Izan Ida Juli Sulong, 45 , berkata, pelbagai kuih muih dan makanan tradisi Terengganu seperti rojak kateh, tapai ubi, nganang, lok lik dan sebagainya menjadi pilihan pengunjung sekaligus meningkatkan pendapatan peniaga makanan tradisi sepertinya.
“Sambutan orang ramai terhadap jualan kuih muih dan makanan tradisi sangat hebat dan memberangsangkan.
“Mungkin mereka antara perantau yang merindui masakan Terengganu,” ujarnya.