• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hasil Kebun Warga Majlis Daerah Marang Dikongsi Bersama

MARANG, 23 Mac - Inisiatif pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Marang manfaatkan ruang tanah terbiar di jabatan itu bukan sahaja dapat mengindahkan kawasan pejabat malah turut membantu mengawal impak karbon. 

Yang Dipertuanya, Zuwislan Awang berkata, pelaksanaan projek menghijaukan kawasan berkenaan secara tidak langsung juga menjimatkan perbelanjaan dapur warga jabatan.

“Ketika bertukar ke sini pada Mac 2022, saya lihat ada ‘pocket land’ atau tanah-tanah yang tidak besar ruangnya berpotensi untuk dimajukan dengan pelbagai tanaman yang boleh mendatangkan hasil dan dalam masa yang sama ia merupakan salah satu usaha menjadikan daerah ini sebagai bandar rendah karbon.

“Kawasan ‘pocket land’ ini kemudiannya dibahagikan kepada empat zon iaitu laman meranti, tembesu, cengal dan jati. Kita ada Bahagian Landskap yang membekalkan baja dan benih. Pegawai dan kakitangan yang ditugaskan diberi kebebasan untuk menanam apa jua sayur-sayuran dan buah-buahan yang mereka mahu.

“Alhamdulillah sejak usahakan setahun lalu, sudah beberapa kali hasil tanaman seperti kangkung, terung, bayam, cili, bendi, kacang panjang, tomato, pudina dan lain-lain dituai dan ada zon yang boleh jual hasil sayur-sayuran yang ditanam dan mendermakan keuntungan yang diperolehi kepada tabung-tabung kebajikan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Katanya, setiap pagi Khamis, warga jabatan akan manfaatkan waktu tersebut untuk mengindahkan laman masing-masing selain mengutip hasil tanaman untuk dikongsi bersama.

Zuwislan berkata, memandangkan kawasan majlis agak terhad beliau berhasrat untuk kembangkan projek tersebut kepada sekolah dan komuniti setempat.

“Setakat ini, kita telah mengadakan perbincangan bersama beberapa sekolah, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Kawasan Rukun Tertangganu (KRT) dan ada yang menunjukkan minat. Insyaallah lepas Aidilfitri kita akan laksanakan,” ujarnya.