• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hasmadi Pejuang Seni Warisan Ukiran Tembaga

KUALA TERENGGANU, 18 September - Anak jati Terengganu, Hasmadi Mohamad, 48, ingin terus memperjuangkan penghasilan seni ukiran tembaga menggunakan kaedah tradisional.

Hasmadi berkata, walaupun di era moden ini telah ramai yang menggunakan kaedah teknologi, namun dia tetap dengan pendirian menghasilkan ukiran tembaga tersebut menggunakan alatan dan tangan.

Dia yang berasal daripada Kampung Simpang Empat, Chendering melihat tidak ramai masyarakat setempat yang mampu menguasai kemahiran tradisional ini.

“Hal ini kerana, ramai antara mereka yang pakar telah berhijrah daripada kerjaya seni ukiran tembaga kepada kerjaya lebih senang yang mengikut peredaran zaman,” jelasnya.

Dia berkata demikian kepada pemberita pada Festival Musing Ketang bertempat di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium, Bukit Losong di sini kelmarin.

Tambah Hasmadi, tempat penghasilan seni ukiran tembaga itu adalah kilang di Kampung Losong.

Jelasnya, kebiasaannya tembaga tersebut dijual melalui tempahan dan dihantar juga ke kedai-kedai yang menjual alatan tembaga.

“Selain tembaga, saya juga boleh mengukir bunga pada keris dan cincin dengan seni ukiran yang dipilih oleh pembeli.

“Setiap hari, saya boleh mengukir sehingga enam barang termasuk tembaga, keris dan sebagainya,” ujarnya.

Hasmadi telah terlibat dengan seni ukiran tembaga ini selama lebih 25 tahun dan kemahiran tersebut juga telah diturunkan kepada seorang anak lelakinya.

Mengulas mengenai festival terbabit, dia berbesar hati kerana dijemput untuk memeriahkan festival 'Musing Ketang' bermula 16 hingga 18 September.

 


Tag: