• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk mendakap piala ketiga musim ini lebur apabila kalah tipis 2-3 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2022, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sekalipun berjaya bangkit mengatasi defisit dua gol menerusi dua jaringan padang dalam masa dua minit, skuad kendalian Roslan Jamaluddin akhirnya bolos pada minit terakhir perlawanan menerusi ledakan gol Muhammad Amirul Hamizan.

Turun selaku juara Liga Hoki Malaysia 2022, THT bermula agak perlahan apabila lebih banyak diasak barisan serangan TNB.

Pada minit ke-18, pasukan pantai timur itu dikejutkan jaringan pertama TNB menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan pemain kebangsaan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, TNB tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila memanfaatkan pukulan sudut penalti keempatnya dengan gol kedua menerusi jaringan Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-39.

Ketika perlawanan berbaki kira-kira 20 minit, THT bangkit menjaringkan gol padang dalam masa menerusi Muhammad Mahran Mohd Jalil minit ke-49.

Seminit berselang, Ismail Abu meledak gol kedua pasukan untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Pada minit-minit terakhir permainan, THT cuba mengheret perlawanan kepada penentuan penalti, namun kealpaan pemain dihukum.

TNB berjaya melakukan serangan balas pada minit akhir dan berhasil mendapatkan gol ketiga yang menghampakan seluruh penyokong pasukan pantai timur itu.

Menutup musim 2022, THT berjaya menjulang kejuaraan berganda setelah mendakap Piala Sumbangsih dan Piala Liga Hoki Malaysia tahun ini.

Kejayaan tersebut memperbaiki pencapaian THT sebagai juara Piala TNB musim lalu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: