• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Hiburan Patuh Syariah Pupuk Adab Masyarakat

KUALA LUMPUR, 5 April - Seni hiburan patuh syariah yang digariskan oleh Islam mampu mencegah segala yang merosakkan individu dan masyarakat.

Pengerusi Permuafakatan Kesenian dan Kebudayaan Islam Serantau (LESTARI) , Dr Riduan Mohamad Nor menyatakan, hiburan yang sihat menjaga adab dan syariah sebagai Muslim bagi Malaysia yang bermajoritikan orang - orang Melayu dan beragama Islam. 

"Betapa perlunya memperuntukkan seni hiburan yang bersifat patuh syariah menurut Islam dan amatlah digalakkan bagi pengisian rohani dan jasmani manusia yang bertamadun.

"Islam merupakan sebuah agama dan panduan hidup yang membenarkan segala yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Iftar LESTARI Bersama Seniman Tanah Air di sebuah restoran di sini, baru - baru ini. 

Majlis anjuran bersama Badan Bukan Kerajaan(NGO) yang berpusat di Kuala Terengganu dengan kerjasama seniman tanah air itu telah dihadiri oleh seramai 85 orang antaranya penyanyi, Dato’ Siti Fairuz, Azian Mazwan Sapuan, Hasnol dan vokalis kumpulan Ways, Aan.

Turut hadir, wakil penaja - penaja daripada beberapa buah syarikat iaitu EPIC Berhad, Pertima Terengganu Sdn Bhd, Permint Granite Sdn Bhd serta NGO Muslim Care Malaysia. 

Menurut ADUN Jerteh itu, tujuan majlis berkenaan diadakan di antaranya adalah untuk mengeratkan silaturahim di antara pengerak LESTARI dengan penggiat - penggiat seni tanah air. 

"Ia supaya objektif utama LESTARI untuk memperkasakan kesenian dan kebudayaan patuh syariah di Malaysia dapat dikongsikan bersama dan dioptimumkan melalui sokongan dan dokongan penggiat - penggiat seni tanah air kita," ujarnya lagi.

Majlis juga diserikan dengan bacaan doa oleh ADUN Sungai Burong, Ustaz Zamri Zainuldin @ Ustaz Zamri Mantop yang juga merupakan seorang ahl jawatankuasa LESTARI. 

Tetamu - tetamu yang hadir telah dihiburkan dengan hiburan ringan berupa petikan gitar daripada pencipta lagu, Ahmad Samsuddin dan nyanyian DKay dari kumpulan Lestari Buskers serta pelancaran sebuah lagu raya terbaharu  mereka yang berjudul Girang Ria Hari Raya yang boleh diakses melalui laman sesawang YouTube.


Tag: