• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Hidupkan Kembali Bukit Puteri Terengganu


KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Kerajaan negeri akan menghidupkan kembali Bukit Puteri yang kini nampak suram, dengan menarik kedatangan lebih ramai pengunjung serta mengukuhkan kedudukan lokasi berkenaan sebagai antara produk tarikan pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kawasan itu dahulunya merupakan lokasi tumpuan ramai berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Istana Maziah serta Masjid Abidin yang merupakan destinasi persinggahan pelancong.

Justeru, bagi membangunkan semula Bukit Puteri, pihaknya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk mengadakan gotong-royong di lokasi bersejarah itu.


“Pelbagai peninggalan sejarah masih jelas dapat dilihat di Bukit Puteri ini, antaranya tempat simpanan bedil dan meriam, genta (loceng besar), meriam beranak, tiang bendera, rumah api dan sebagainya tetapi malangnya lokasi menarik ini telah terbiar hampir tiga tahun disebabkan masalah-masalah tertentu.

“Bagi peringkat awal, kita akan adakan aktiviti gotong-royong dalam masa terdekat yang melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Daerah Kuala Terengganu serta komuniti bandaraya ini sendiri untuk bersama-sama menggembleng tenaga membangunkan kembali Bukit Puteri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke daerah Kuala Terengganu, hari ini.

Ariffin berkata, beliau yakin Bukit Puteri berupaya kembali menjadi lokasi tumpuan pelancong selepas penambahbaikan dilakukan kerana lokasinya yang strategik di samping ianya seumpama pakej kepada pelancong yang mengunjungi kawasan sekitarnya termasuk dengan adanya jambatan angkat atau ‘drawbridge’ tarikan baharu bandaraya ini.  

Tag: