• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hiduplah Secara Harmoni, Haiwan Juga Punya Hak

KUALA TERENGGANU, 14 September – Manusia adalah khalifah di atas muka bumi untuk menjaga, mentadbir dan mengurus muka dunia ini agar ia dikongsi secara harmoni antara semua makhluk Allah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebagai makhluk Allah, haiwan juga mempunyai hak untuk dapatkan makanan,  kebebasan daripada ketidakselesaan dan bebas daripada ketakutan serta penderitaan. 

"Haiwan juga makhluk yang punya rasa. Cuma tak mampu berkata-kata. Dijadikan haiwan oleh Allah untuk faedah manusia, tapi bukan untuk dizalimi, disakiti, dianiayai dan diabaikan.

"Apabila ini semua diharmonikan, kita pun boleh hidup secara menumpang atas muka bumi Allah. Tapi apabila terdapat manusia yang mencipta konflik dengan alam, kena ingat kita juga terbatas. Kita bimbang kita berada di pihak yang kalah. 

 "Akta atau undang-undang tentu sekali bukan untuk menghukum tetapi lebih kepada usaha menolak budaya penganiayaan serta menjaga kebajikan haiwan itu sendiri seperti yang disarankan oleh agama," katanya. 
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kempen Kesedaran Akta Kebajikan Haiwan, di Hotel Paya Bunga di sini, hari ini.

 

Sementara itu menurutnya, di Terengganu, kes yang pernah didakwa di bawah Akta Kebajikan haiwan ialah kes tetak lembu dan sabung ayam. 

"Membiarkan lembu berkeliaran di jalan raya sehingga ternakan dilanggar kenderaan juga boleh didakwa bawah Akta ini. Jangan main-main. Hukumannya boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara.

"Jadi kita mengharapkan semua memahami akta kebajikan haiwan dan sama-sama bekerja untuk melaksanakannya. Kita boleh cipta suatu suasana yang harmoni. Kebajikan manusia terjaga dalam masa yang sama kebajikan haiwan pun terjaga. 

"Islam sangat mementingkan keadilan. Adil ini maknanya meletakkan sesuatu pada tempatnya," tegasnya.


Tag: