• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Hijab Day' Untuk Lelaki

KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Sambutan 'Hijab Day' pada tahun 2022 berbeza kerana ia bukan hanya untuk golongan wanita tetapi turut melibatkan kaum lelaki.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA),  Wan Nur Sakinah Din berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif mengadakan program itu secara besar-besaran berbeza dengan tahun terdahulu.

"Jadi kita menyahut sekali lagi untuk adakan program ini dan kelainan ialah kempen ini bukan hanya diadakan untuk wanita sahaja tapi untuk semua rakyat Terengganu sama ada lelaki, keluarga dan pimpinan masyarakat. 

"Kita tuju kepada golongan-golongan ini kerana lelakilah sebenarnya lebih utama untuk mengetahui dan memastikan ahli keluarga mereka, isteri serta anak-anak menutup aurat dengan sempurna," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Pejabat Urus Setia Wanita (USWA), Jalan Alamanda semalam. 

Katanya, program yang dibuat merupakan aktiviti tahunan yang diinspirasikan daripada 'World Hijab Day' disambut 1 Februari setiap tahun.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, sambutan itu turut dihiasi dakwah jalanan di lapan kawasan dengan aktiviti pembahagian risalah, stokin dan tudung kepada orang awam.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu untuk sama-sama menyertai dan menyahut seruan kepada program 'Hijab Day' yang hebat dan menarik sekali.


Tag: