Hijrah Bukan Tunggu Sempurna, Tapi Bermula Dengan Sedar

DUNGUN, 2 Julai - Hijrah bukan tunggu kita sempurna, tapi ia bermula dengan kesedaran untuk jadi lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar menandakan peralihan angka dalam kalendar Islam, tetapi merupakan satu titik tolak untuk umat Islam memperbaharui niat dan melangkah ke arah kehidupan yang lebih diredhai Allah.

"Kita mungkin tidak mampu berubah sepenuhnya dalam sehari, tapi niat yang ikhlas dan usaha berterusan itu lebih utama di sisi Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Awal Muharram 1447H peringkat Daerah Dungun di Masjid Pinang, Paka baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, umat Islam perlu sentiasa melihat tahun baru hijrah sebagai peluang untuk muhasabah dan memperbetul arah hidup.

“Maal Hijrah ini bukan sekadar satu sambutan, tetapi ruang untuk kita baiki diri, baiki hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia, serta bina kekuatan untuk istiqamah dalam perubahan.

“Moga tahun ini membawa lebih banyak kebaikan, keberkatan dan kekuatan untuk kita semua. Jangan takut untuk berhijrah, kerana setiap langkah menuju kebaikan, Allah SWT pasti bersama,” katanya.

Di samping itu juga, beliau mengajak seluruh masyarakat agar menjadikan tahun hijrah ini sebagai medan memperkukuh iman, akhlak dan ukhuwah dalam masyarakat.

 


Tag: