• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Hijrah : Perjalanan 460 Kilometer Penuh Hikmah, Ibrah

KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal sejauh 460 kilometer dari Makkah ke Madinah, tetapi juga sebuah perjalanan yang penuh dengan hikmah dan ibrah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata bahawa hijrah merupakan perjuangan besar Rasulullah SAW dan para sahabat untuk memastikan kelestarian agama Islam di muka bumi ini.

“Sejarah Islam merekodkan bahawa hijrah dilakukan berdasarkan perancangan yang begitu teliti dan rapi dalam menempuh perjalanan sejauh lebih 460 kilometer ini.

“Bermula dengan perancangan untuk keluar daripada Makkah tanpa pengetahuan pihak musuh sehinggalah kepada perancangan bagaimana untuk sampai ke Madinah dengan selamat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Dr Khalil turut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memastikan individu yang terlibat dalam peristiwa hijrah adalah mereka yang benar-benar mempunyai kelayakan dan boleh dipercayai.

“Peristiwa hijrah menunjukkan kepada kita kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi dalam menempuhi kesukaran untuk melaksanakan perintah Allah SWT.

"Hijrah juga membuktikan pergantungan atau tawakal yang amat kuat oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. kepada Allah SWT.

“Pergantungan atau tawakal yang amat kuat ini amat sukar untuk dilestarikan dan dizahirkan oleh sesiapa pun melainkan oleh mereka yang memiliki akidah yang benar dan sahih, yang tidak ternoda dengan sebarang bentuk keraguan atau syak kepada Allah SWT.

“Hanya akidah yang lurus dan benar sahaja yang dapat melahirkan kekuatan dalaman yang sedemikian teguh dan kukuh dalam menghadapi ujian-ujian seperti yang dialami oleh Baginda SAW dan para sahabat r.a. dalam peristiwa hijrah,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengajak umat Islam untuk menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai tauladan dan ikutan dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang mencabar ini.

“Hijrah dalam tradisi Islam memberikan maksud yang sangat besar dalam kehidupan umat Islam keseluruhannya.

“Hal ini kerana peristiwa hijrah yang telah berlaku adalah sarat dengan pelbagai sejarah, hikmah dan ibrah kepada kesemua yang berakal dan terbuka mata hatinya.

“Sebagai mengakhiri ucapan saya, marilah sama-sama kita menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW untuk dijadikan tauladan dan ikutan kita dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang cukup mencabar ini. Selamat menyambut Maal Hijrah 1446,” katanya.

 


Tag: