• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hijrah Tidak Sama Makna Dengan Pelarian

Oleh : Adli Mohamad /Foto : Wan Hadi

PUTRAJAYA, 29 Julai - Istilah ataupun terma penggunaan perkataan hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dari Mekah ke Madinah tidak boleh disamakan dengan makna pelarian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan Rasulullah berdasarkan perintah serta tuntutan bersumberkan wahyu.

"Bukan bermakna Rasulullah melarikan diri dengan hanya melarikan diri begitu (sahaja) tetapi adalah atas perintah dan tuntutan Allah SWT dan istilah hijrah berbeza sangat dalam mana-mana terma dari segi agama berbanding dengan yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Dato' Mohd Fasiah Mohd Fakeh mengenai istilah yang mengelirukan daripada Ahli Parlimen Kota Raja, Muhamad Sabu, di Persidangan Dewan Parlimen, semalam.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata kerajaan akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang terhadap mana-mana individu atau kumpulan bertujuan menghasut dan merendahkan ajaran Islam.

"Dari segi akidah, ibadah dan syariat Islam (Perundangan Islam) Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkuasa agama negeri bagi mengekang aktiviti penghinaan agama yang tidak sihat ini, "tegasnya.

Justeru, katanya usaha akan dipergiat bagi menyampaikan kefahaman mengenai keindahan Islam kepada seluruh rakyat.

"Bagi memperbetulkan banyak salah faham sekaligus meredakan kes-kes penghinaan yang mungkin berpunca daripada silap faham terhadap ajaran Islam," katanya.

Tegas beliau, Islam merupakan ajaran agama nasihat berkonsepkan berpesan-pesan kepada kebenaran dengan penuh kesabaran.
 


Tag: