• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Home Manager' Kurangkan Masalah Kebergantungan Kepada Pekerja Asing

 

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh kepada program Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata program itu memberi peluang pekerjaan kepada anak negeri dalam meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Katanya, ini jelas terbukti apabila terdapat unjuran pertambahan dan permintaan terhadap Home Manager dari tahun ke tahun.

"Terdapat lanjutan permintaan yang tinggi untuk menggunakan khidmat Home Manager ini setiap tahun dan ia merupakan satu perkara yang positif.

"Secara tidak langsung dapat menangani masalah kebergantungan kepada pekerja asing dalam kerjaya ini disamping dapat membantu golongan miskin, belia-beliawanis dan ibu tunggal dalam meningkatkan taraf hidup juga pendapatan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) Tahun 2019 di Dewan Bangunan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering hari ini.

Lima peserta yang menerima APC beramah mesra dengan ADUN Wanita, Zuraida

Seramai lima 'Home Manager' menerima anugerah APC yang julung kali diadakan bagi mengiktiraf perkhidmatan serta membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM500.

Dalam majlis yang sama, 18 orang kakitangan 'Home Manager' turut menerima Sijil Pelantikan Personal Sistem Dual Nasional (SLDN) sebagai Jurulatih dan Pelatih.

Sementara itu, Zuraida turut melahirkan rasa teruja beliau apabila majoriti peserta 'Home Manager' ini sebahagian besarnya adalah wanita.

"Saya cukup teruja dengan program ini apabila pesertanya adalah ibu tunggal yang mana salah satu hasrat saya, mereka ini berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan.

"Jadi saya lihat program ini adalah platform terbaik untuk mereka menambah pendapatan diri dan keluarga," ujarnya.


Tag: