• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

'Hormati Perayaan Agama Lain Dibolehkan' - YDP DUN Terengganu

Dato' Yahaya (tengah) bercakap di sidang media selepas merasmikan Diskusi Fatwa: Hukum Meraikan Perayaan Orang Bukan Islam di Dewan Serbaguna  PPAT Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam turut sama menghormati perayaan yang dihubungkan dengan budaya dan agama kaum lain selama mana ia tidak melibatkan soal akidah Islam.


Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali berkata, rakyat negara ini perlu melihat perayaan itu sebagai satu acara yang diraikan oleh semua.

"Dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, kita perlu melihat perayaan itu sebagai satu acara yang diraikan oleh semua.

"Kita perlu terima realiti massa Malaysia sebagai masyarakat majmuk sebagaimana zaman Nabi dulu," jelas beliau.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah (kiri) menjadi panel kedua Diskusi Fatwa: Hukum Meraikan Perayaan Orang Bukan Islam di PPAT Kuala Terengganu.
Dato' Yahaya berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Program Diskusi Fatwa : Hukum Meraikan Perayaan Orang Bukan Islam di Dewan Serbaguna Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu (PPAT), di sini hari ini.

Turut hadir, Mufti Negeri, Dato' Dr Zulkifly Muda dan Timbalan Mufti Negeri, Ahadi Othman.

Katanya, persoalan yang berkait adalah bagaimana cara memberi kefahaman kepada orang bukan Islam berhubung Islam menjamin kebebasan beragama dan keselamatan mereka di bawah kepimpinan orang Islam.

Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Imam dan Bilal seluruh negeri hadir di Majlis Perasmian Diskusi Fatwa: Hukum Meraikan Perayaan Orang Bukan Islam di PPAT Kuala Terengganu.
"Hak dan kebebasan mereka terjaga dalam batas-batas yang dibenarkan syarak termasuk menjaga agama, nyawa, harta, keturunan dan akal," jelasnya.

Beliau turut mempertikaikan sesetengah pihak yang memberi kefahaman salah tentang 'Islam adalah rahmat sekalian alam' kepada orang bukan Islam kerana tujuan politik termasuk meraikan pengundi bukan Islam.

"Kadang-kadang orang salah faham tentang Islam rahmat kepada sekalian alam ini, ada tujuan untuk politik, nak meraikan pengundi bukan Islam, benda-benda macam ini kita rasa patut ada peringatan supaya jangan jadi terlajak sangat (melampaui batas)," ujarnya.

Tag: