• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Hukuman Kepada Pemandu Mabuk Perlu Diperketatkan

Oleh: Mohd Rizauddin

DUNGUN, 28 Mei - Kejadian kemalangan yang melibatkan orang awam tidak bersalah angkara perbuatan pemandu mabuk harus dipandang serius dan sudah tiba masanya untuk kerajaan bertegas serta mempertingkatkan lagi hukuman sedia ada terhadap pelaku.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berpendapat, undang-undang sedia ada bagi menghukum pelaku kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dilihat terlalu ringan dan menyebabkan ramai memandang remeh.

Katanya, tindakan drastik harus diambil oleh pihak kerajaan dalam menggubal undang-undang yang lebih tegas dengan mengenakan hukuman mandatori yang setimpal bagi memberi kesedaran kepada semua pesalah.

"Isu kemalangan maut yang melibatkan orang awam dan pemandu mabuk bukanlah lagi suatu perkara yang baru bagi kita, namun ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Bahkan dalam pada kita menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, masih ada kejadian kemalangan maut melibatkan seorang pegawai polis yang sedang bertugas. Ini semua angkara pemandu yang tidak bertanggungjawab," ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Menurut beliau, mungkin lebih ramai orang awam akan menjadi mangsa pemandu mabuk ini, maka amat wajarlah jika tindakan awal diambil oleh pihak berkuasa terlebih dahulu memandangkan penggubalan undang-undang baru yang lebih ketat belum dilaksanakan.

Dalam pada itu, Wan Hassan turut menggesa agar rakyat Malaysia lebih bersikap bertanggungjawab serta bertimbang rasa terhadap orang lain agar kejadian seperti ini dapat dielakkan.


Tag: