• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Hulu Terengganu Bukan Lagi Zon Hijau

HULU TERENGGANU, 12 Disember - Satu-satunya daerah di Terengganu yang sebelum ini bebas daripada jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) akhirnya dikategorikan sebagai zon kuning selepas satu kes baharu dikenal pasti di sini, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui laman sosial Facebooknya.

Menurut kenyataan tersebut, kes baharu iaitu kes 249 merupakan kes import B dan didaftarkan di mukim Penghulu Diman, Hulu Terengganu. 

"Kes merupakan pesakit terlantar dan mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi, diabetes dan angin ahmar. 

"Kes dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada 11 Disember 2020 dengan masalah pernafasan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan kepada keadaan klinikal semasa, kes telah dimasukkan ke ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan,"ujar kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi pada hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merekodkan pertambahan enam kes baru Covid-19 menjadikan terdapat 13 kes Covid-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 250 kes.

Susulan itu, bagi membendung penularan tempatan dan menjaga zon hijau di negeri ini, individu yang memasuki Terengganu digalakkan hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan. 

Arahan untuk tindakan seterusnya bergantung kepada hasil penilaian tersebut. - Gambar fail.


Tag: