• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Hutang Persekutuan : MB Jumpa Menteri Kewangan Dalam Masa Terdekat

KUALA TERENGGANU, 30 Mac - Kerajaan Terengganu akan terus berusaha mendapatkan bayaran balik baki hutang daripada kerajaan Persekutuan dalam bentuk tunai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat permohonan dalam memastikan bayaran secara tunai diterima semaksimum mungkin.

“Sepatutnya, saya bertemu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 28 haribulan lalu, tetapi beliau ada keuzuran pada tarikh itu selepas pulang dari luar negara.

“Jadi, dalam masa terdekat ini maknanya dalam paling kurang seminggu yang akan datanglah (perjumpaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Tahun Semarak Dakwah Peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan keputusan semasa, ada perkembangan positif terhadap isu berkenaan apabila diikuti dengan penyediaan Kertas Kabinet mengenai isu Hutang LPT2 yang akan diadakan pada masa terdekat.

“Insya-Allah kita berdoa begitu sebab hasil perbincangan awal itu ke arah itu (pembayaran tunai).

“Tetapi, saya tak nak bagi apa-apa ‘hint’ lagilah sebab saya pun tidak ada gambaran sebenarnya ke arah mana sebenarnya kita nak dan yang mungkin akan dipertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, sebahagian bayaran balik yang telah dilunaskan adalah sebanyak RM418.5 juta dalam bentuk projek iaitu Jalan FT3 Awana Kijal bernilai RM118.5 juta dan Projek Perumahan Mampu Milik (RM100 juta) dan pendahuluan tunai (RM200 juta).

Ini bermakna, hutang sebanyak RM1.85 bilion itu masih berbaki RM1.43 bilion.


Tag: