• 17 Sept 2021 | 9 Safar 1443

"Ia Adalah Satu Hadiah Tidak Ternilai"

HULU TERENGGANU, 10 Januari – "Selepas hampir 12 tahun menunggu, impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga," kata Mohd Azhar Ali, 42, seorang penerima Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang diluluskan di negeri ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia yang membuat permohonan sebelas tahun yang lalu gembira apabila terpilih menerima bantuan berkenaan.

"Saya sudah lama menyewa rumah. Bantuan datang tepat pada masanya dan ini ialah hadiah dan kesenangan untuk isteri dan anak - anak saya.


“Saya sebagai suami dan ketua keluarga kini boleh menarik nafas lega kerana dapat menyediakan sebuah rumah yang selesa untuk didiami bersama isteri dan empat anak tersayang walaupun tidak sebesar mana.

"Bantuan ini meringankan beban dan memberi kemudahan kepada saya yang bekerja sebagai penghantar barang di sebuah Syarikat Kurier," katanya yang ditemui selepas menerima bantuan berkenaan baru-baru ini.

Beliau menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman kassim di majlis penyerahan di Kampung Bukit Ara, Ajil di sini.

Sementara itu, Maliaman berkata, sebanyak 3 unit Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah dilulus dan ditawarkan kepada pemohon di Dun Ajil pada tahun 2020.


 “Kerajaan negeri melancarkan program PPTS ini bagi membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan mempunyai kediaman sendiri dan sentiasa memberikan keutamaan kepada pembekalan rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah dan sederhana rendah kepada penduduk di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga sentiasa komited membantu menyelesaikan isu kemiskinan di Terengganu dengan melaksanakan pelbagai program termasuk bantuan seperti PPTS.

 “Kita berharap lebih banyak bantuan seperti ini dapat diberikan kerana Kerajaan Negeri komited dalam usaha membantu menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.